May 23, 2012

Kepala yang tertanggal daripada tubuh badan dalam sebuah mimpi lalu diadaptasi menjadi sebuah ketakutan di alam realiti.



Malam semalam aku bermimpi kepala aku dipenggal suami kepada makcik yang menjual nasi lemak berhampiran rumah aku ini. Semuanya gara gara kelancangan mulut mengadu mengenai kualiti nasi lemaknya yang tidak memuaskan hati aku. Disebabkan itu, kepala aku bercerai daripada tubuh, ditetak parang panjang yang aku percaya sebelum ini digunakan untuk memotong pokok pokok pisang untuk diambil daunnya sebagai lapik nasi lemak.

Sebaik baik sahaja leher aku ditetak dan putus terus aku terjaga. Terkebil kebil aku memandang siling rumah berwarna putih memikirkan mimpi tadi yang aku sendiri keliru samada mahu mengklasifikasikannya sebagai satu mimpi ngeri ataupun mimpi black comedy. Disebabkan tidak dapat menyambung kembali tidur tadi lalu aku mengambil keputusan untuk merenung kembali peristiwa kepala yang dipenggal dalam mimpi.

Melalui bacaan aku sebelum ini, beberapa kajian mengatakan otak manusia masih lagi boleh berfungsi buat beberapa ketika selepas terpisahnya kepala dari badan. Dan aku terfikir, apakah yang akan berlegar legar di fikiran aku ketika itu. Sempatkah aku berfikir tentang dosa dan Tuhan, ataupun terburu buru melafazkan syahadah sebagai salah satu usaha aku untuk menetap di syurga? Atau mungkin kemarahan aku akan menguasai diri, merenung wajah penjual nasi lemak tersebut sambil menyumpah dan memasang tekad untuk menghantui fikiran mereka? Berbagai bagai persoalan dengan bermacam macam jawapan.

Aku ambil keputusan untuk pejamkan mata dan memanfaatkan bahagian lobus frontal melakukan simulasi keadaan kepala yang terputus daripada leher. Nafas aku semakin laju dan tiba tiba dada terasa sesak. Dan daripada simulasi tersebut akhirnya aku membuat konklusi yang saat menghadapi ajal yang pasti, kita tidak akan dapat memikirkan apa pun dengan waras. Semuanya berkecamuk dan melenting dalam kepala. Tidak termampu menyusun mana satu yang menjadi keutamaan untuk difikirkan. Apatah lagi makwe. Memikirkan makwe di saat menghadapi kematian adalah salah satu pembohongan terbesar drama drama cinta.

Lalu aku bangun, menuju ke bilik air dan meneliti cermin ketika sedang menggosok gigi, memastikan leher tiada parut tetakan. Kemudian pakai seluar dan baju terus bergegas mencari sarapan rutin - nasi lemak. Sempat aku memberitahu makcik tersebut yang nasi lemaknya sedap, dia hanya membalas dengan sedikit senyuman, manakala suaminya mengangkat kening sebanyak dua kali sebagai tanda "Oh mesti lah sedap, nasi lemak bini aku kot. Kau ada?"

Lalu aku pulang ke rumah menikmati nasi lemak yang punya kekurangan, tutup sebelah mata dan kunyah perlahan lahan. Ah, biarlah nikmat makanan ini sedikit hambar, asalkan nikmat bernafas di atas dunia dengan kepala masih kekal melekat di atas badan masih dapat aku rasai.

Banyak pilihan dan keputusan yang kita, sebagai seorang manusia biasa perlu lakukan setiap hari. Misalnya dalam soal kehidupan dan kematian. Untuk hidup manusia itu sanggup berbohong tapi untuk ke ke syurga, manusia bisa mati.

1 comment:

Y said...

Kemain suami makcik nasi lemak ni.