May 28, 2012

Aku jarang jarang tulis post selamat hari jadi untuk seorang teman baik, tapi bila aku tulis, ada tujuh point penting semuanya.


Tak ada hadiah yang aku dapat bagi pada Faizal, jadi aku cuma boleh berikan beberapa cerita tentangnya yang mungkin ramai tak tahu.

1. Faizal pernah bawa kami ke rumahnya, melalui jalan belakang taman yang dipenuhi anjing. Perjalanan itu tak pernah sunyi daripada salakan anjing yang berbagai bagai saiz dan spesies. Kebanyakan daripada kami awal awal lagi sudah melafazkan syahadah dalam hati, bimbang pergi berjalan kaki, pulang dalam van. 

Tapi alah bisa tegal biasa, Faizal berjalan seperti biasa, seolah olah anjing tersebut sedang ketawa riang kepadanya, malah sempat diacah acah lagi haiwan bergigi tajam tersebut. Motif aku ceritakan cerita ini adalah untuk memberitahu, Faizal sebenarnya seorang dog whisperer dan dia mempunyai seorang ibu yang terer masak ayam merah paling power di Pahang. 


2. Faizal seorang jam loceng waktu pagi versi manusia. Tak, dia bukan rajin kejut orang pagi pagi, tapi dia annoying macam bunyi loceng tersebut. Waktu anda tidak akan mendengar suara Faizal adalah sewaktu dia tidur, berhadas kecil ataupun ketika azan sedang berkumandang. Begitulah dasyatnya kebisingan Faizal ini pada pandangan rakyat marhaen Kuantan. Tapi pada malam hari jadinya yang ke lapan belas, kami telah berpakat lalu mengatakannya konon kononnya ada penduduk blok A tidak berpuas hati dengan kelantangannya. Lalu Faizal di bawa masuk ke dalam bilik aku dan dikunci sebelum pintu diketuk bertalu talu kononnya mahu masuk dan belasah. Sesuailah jika muka cuak Faizal ketika itu aku gambarkan seperti ayam kena tungau.

Lalu pintu di buka dan lagu selamat hari jadi dinyanyikan beramai ramai, lelaki bising ini dilihat mengalirkan air mata terharu di atas katil. Ketika ini, tradisi baling telur dan tepung pada mangsa harijadi yang diikat pada batang pokok masih belum popular di Padang Lalang.


3. Sepanjang aku bersama Faizal, dia ini makweless, benar benar tidak mempunyai makwe ataupun tidak menonjolkan makwenya itu aku tidak pasti. Tapi yang pasti, lebihan kasih sayangnya banyak dicurahkan pada kawan kawan. Termasuk lah aku, ketika demam, dia datang ke bilik menawarkan selimutnya pada aku memandangkan aku tidak pernah memiliki selimut sendiri kerana terlalu yakin dengan kehebatan selimut lemak di bawah kulit aku sendiri. 

4. Aku cuba belajar untuk bermain gitar demi membuat video paling manis untuk makwe aku ketika itu. Lalu aku pinjam gitar daripada seorang teman. Tapi malangnya aku cepat berputus asa, apabila jari mula sakit dan youtube jadi perlahan. 

Faizal masuk dan memetik metik gitar tersebut. Aku tanya dia, kau terer main gitar ke? Dia cakap tak, nak belajar lah ni. Lalu seminggu selepas itu, dia dah reti main gitar dan aku cuma mampu berikan patung Ultraman kepada makwe. Faizal adalah manusia paling pantas belajar.

5. Ketika orang ramai sedang bersikap "ah aku nak kena study ni aku pun nak exam juga, pergi tanya orang lain", Faizal bersikap terbuka sanggup mengajar aku mengenai beberapa subjek kerana baginya, mengajar aku itu adalah cara dia belajar. Dan Faizal, antara pelajar yang sukses dalam kalangan kami ketika itu. 

6. Faizal seorang yang sensitif. Kau bergurau dengan dia tentang mata sepet dia, jerawat berterabur di pipi dia ataupun rambut watak super saiya dia, dia tak akan pernah kisah. Tapi kalau cakap dia annoying, dia akan jadi "okay, aku annoying" kemudian sentap. 

Sampai sekarang, dia masih akan tanya aku apa benda yang orang tak suka tentang dia. Dia tahu jawapannya orang tak suka dia bising, annoying, tapi dia nak tanya juga. Lepas tu nanti nak tacing. Begitu lah bangangnya perangai Faizal ini.

7. Faizal Hiqram adalah seorang sahabat yang paling baik kalian boleh dapat. Kau kena kenal dia dulu sebelum kata yang bukan bukan mengenainya. Dia mungkin bising, tapi tidakkah kawan yang diam itu membosankan? Ini lah Faizal Hiqram yang aku kenal, bising, annoying dan antara kawan paling baik yang boleh Tuhan kurniakan pada mana mana mahklukNya. 

Aku mungkin dah tak selalu jumpa, sembang atau rapat dah dengan kau Mohd Faizal Hiqram. Tapi yang ini, aku ingat.

May 26, 2012

Oktober 6 tahun dua ribu sebelas.

Punyalah tak ada kerja, gua boleh pergi kejar skuad perodua era tadi. Dorang parking je gua dah ready cekak pinggang belakang kereta. Tiba tiba brader tu keluar bagi gua sebiji epal hijau dan dia cakap, bro, Steve Jobs dah tak ada.


epal itu gua gigit dengan linangan air mata.

Solitud (1)


Di samping langit aku jadi awan.
jadi teduhan
jadi hujan.

Dizinkan Tuhan,
aku bisa jadi taufan.
menghancurkan
meluluhkan.

Di samping langit aku pilih jadi awan.
yang perlahan
yang bersendirian
menunggu kematian.

May 23, 2012

Kepala yang tertanggal daripada tubuh badan dalam sebuah mimpi lalu diadaptasi menjadi sebuah ketakutan di alam realiti.



Malam semalam aku bermimpi kepala aku dipenggal suami kepada makcik yang menjual nasi lemak berhampiran rumah aku ini. Semuanya gara gara kelancangan mulut mengadu mengenai kualiti nasi lemaknya yang tidak memuaskan hati aku. Disebabkan itu, kepala aku bercerai daripada tubuh, ditetak parang panjang yang aku percaya sebelum ini digunakan untuk memotong pokok pokok pisang untuk diambil daunnya sebagai lapik nasi lemak.

Sebaik baik sahaja leher aku ditetak dan putus terus aku terjaga. Terkebil kebil aku memandang siling rumah berwarna putih memikirkan mimpi tadi yang aku sendiri keliru samada mahu mengklasifikasikannya sebagai satu mimpi ngeri ataupun mimpi black comedy. Disebabkan tidak dapat menyambung kembali tidur tadi lalu aku mengambil keputusan untuk merenung kembali peristiwa kepala yang dipenggal dalam mimpi.

Melalui bacaan aku sebelum ini, beberapa kajian mengatakan otak manusia masih lagi boleh berfungsi buat beberapa ketika selepas terpisahnya kepala dari badan. Dan aku terfikir, apakah yang akan berlegar legar di fikiran aku ketika itu. Sempatkah aku berfikir tentang dosa dan Tuhan, ataupun terburu buru melafazkan syahadah sebagai salah satu usaha aku untuk menetap di syurga? Atau mungkin kemarahan aku akan menguasai diri, merenung wajah penjual nasi lemak tersebut sambil menyumpah dan memasang tekad untuk menghantui fikiran mereka? Berbagai bagai persoalan dengan bermacam macam jawapan.

Aku ambil keputusan untuk pejamkan mata dan memanfaatkan bahagian lobus frontal melakukan simulasi keadaan kepala yang terputus daripada leher. Nafas aku semakin laju dan tiba tiba dada terasa sesak. Dan daripada simulasi tersebut akhirnya aku membuat konklusi yang saat menghadapi ajal yang pasti, kita tidak akan dapat memikirkan apa pun dengan waras. Semuanya berkecamuk dan melenting dalam kepala. Tidak termampu menyusun mana satu yang menjadi keutamaan untuk difikirkan. Apatah lagi makwe. Memikirkan makwe di saat menghadapi kematian adalah salah satu pembohongan terbesar drama drama cinta.

Lalu aku bangun, menuju ke bilik air dan meneliti cermin ketika sedang menggosok gigi, memastikan leher tiada parut tetakan. Kemudian pakai seluar dan baju terus bergegas mencari sarapan rutin - nasi lemak. Sempat aku memberitahu makcik tersebut yang nasi lemaknya sedap, dia hanya membalas dengan sedikit senyuman, manakala suaminya mengangkat kening sebanyak dua kali sebagai tanda "Oh mesti lah sedap, nasi lemak bini aku kot. Kau ada?"

Lalu aku pulang ke rumah menikmati nasi lemak yang punya kekurangan, tutup sebelah mata dan kunyah perlahan lahan. Ah, biarlah nikmat makanan ini sedikit hambar, asalkan nikmat bernafas di atas dunia dengan kepala masih kekal melekat di atas badan masih dapat aku rasai.

Banyak pilihan dan keputusan yang kita, sebagai seorang manusia biasa perlu lakukan setiap hari. Misalnya dalam soal kehidupan dan kematian. Untuk hidup manusia itu sanggup berbohong tapi untuk ke ke syurga, manusia bisa mati.

May 21, 2012

Cinta laman blogspot

Kita berkenalan hanya dalam shoutmix blog aku,
Kau hantar pesan dan suruh aku follow kamu
ooh.. Hati ku rasa sesuatu..

Dan pabila kau kata kau sudah follow aku
Ku gelisah berdebar hati rasa tak menentu
oohh.. benarkah rasa itu..

May 20, 2012

Solitud (2)


Ketika sedang menonton tivi sendirian di rumah sewa tiba tiba seekor kucing membunyikan loceng rumah sebanyak tiga kali. Ketika loceng pertama dibunyikan dia laungkan nama aku sekuat hati. Loceng kedua pula dibunyikan dia laungkan nama nama penulis penulis fiksyen yang mati menyendiri, Poe, Beckett, Porter, Nordhoff. Dan loceng ketiga pula dia merayu rayu aku bukakan pintu untuknya. Ketika pintu dibuka aku lihat seekor kucing kelabu dengan bulu kembang sedang duduk memandang sayu wajah aku. Katanya dia dihantarkan Tuhan sebagai peneman agar aku tidak rasa keseorangan hidup seorang diri tanpa teman dan tanpa hiburan di bandar terpinggir ini. Aku tunduk memeluk si kelabu itu sambil berkata terima kasih, tapi aku memang suka hidup menyendiri biarpun nampak seperti sangat kasihan. Pantas dia mencelah, katanya ini bukan simpati, tapi ini adalah keperluan kau sendiri. 

Kemudian teman aku aku pulang, melihat aku sedang bersembang dengan si kucing lalu dia menegur aku buat kali pertama Disember ini,

kau gila. 

Siapa yang gila, aku yang bercakap dengan kucing atau teman serumah yang menegur sebulan sekali?



Sekuntum orkid putih bernama Marcelo


Pernah suatu masa dahulu saya, sekuntum orkid putih bernama Marcelo didatangi seorang lelaki romantis yang ingin melamar seorang gadis yang disukainya. Kata lelaki romantis tersebut, gadis mana yang tidak menyukai bunga, tambah tambah kalau bunga itu sekuntum orkid putih bernama Marcelo. Malangnya bila dilamar, gadis itu berkerut dahi sambil bertanya kenapa Marcelo? Kenapa bukan Julia? ataupun Alyssandra? Giliran lelaki romantis berkerut dahi, dia membalas soalan kenapa dengan nama Marcelo? Apa yang tidak kena? Adakah lamaran ini diterima?

Si gadis geleng kepala. Katanya Marcelo ini nama lelaki. Melamar dengan bunga yang dinamakan sempena nama lelaki tidak romantis. Yang romantis adalah melamar dengan kamera DSLR misalnya. Ataupun dengan cincin yang tersembunyi di celah celah kereta BMW 5 Siri hitam yang tergantung papan tanda "Baru lepas bernikah" pada bumpernya. 

Lelaki romantis tersenyum, menyelitkan saya, sekuntum orkid putih bernama Marcelo di telinga gadis itu sebelum berlalu pergi meninggalkan si gadis bersama angan-angannya.

May 18, 2012

Tak akan pernah berakhir.

"Dia sedang menangis di penjuru bilik dalam sebuah rumah yang rompong dimakan keramahan api yang menjulang. Masih, kulitnya dingin, ekspresi mukanya kosong dan postur tubuh badannya tegak. Cuma ada air mata mengalir lesu bagai buah buah yang ranum masak terlepas daripada tangkainya."

Sesekali dalam hidup kau akan jumpa sisi diri kau yang langsung berbeza dengan yang lain. Aku dah jumpa, banyak. Terlalu banyak. Antaranya cara aku menghadapi episod hidup bertajuk kesedihan. Walaupun hidup sering dirundung sedih dan keceriaan hati itu hampir hampir menjadi satu hal yang absurd, tapi tetap janggal untuk membiasakan diri.

Wajah bulat ini tak pernah dilihat teman mengalirkan air mata. Mungkin sesekali, seorang dua, itu pun yang kelihatan cuma takungan. Biar yang melekat dalam ingatan mereka cuma senyuman dan gelak tawa bersama, dan segala keperitan itu dipendam tenggelam jadi abu. Luahan hanya berlaku kanvas perasaan sendiri sudah tidak punya tempat lagi untuk menampung parut. 

Klise menganggap diri sendiri umpama badut, menceriakan orang hati sendiri jadi milik kekecewaan. Umpama meminta simpati mohon dihiburkan. Sebaliknya aku lebih selesa memilih untuk meletakkan diri di tempat penonton persembahan badut. Ketawa tanpa pura pura walaupun menyedari yang dalam poket seluar ada bermacam masalah yang perlu di selesaikan. Aku lakukannya untuk kedua duanya, kebahagian para badut dan juga diri sendiri.

Momen ketawa itu, sebenarnya adalah dua biji painkiller yang ditelan bersama sama air kosong sebelum merehatkan kepala atas sebuah bantal empuk sebelum tertidur aman.

Kemudian mimpi, ada yang menangis di sebuah rumah yang terbakar tanpa sebarang reaksi sakit kecuali air mata yang berjuraian jatuh di pipi.

Tak akan pernah berakhir. 


Resipi Rock Kek - yang ditulis pada tahun 1972.


Malam ni pak-chik nak ajar anak anak sa-kalian untuk membuat Rock Cake atau dalam bahasa melayu-nya Kek Batu Karang.

Bahan-bahan nya adalah ;

Tepong gandum & baking powder (di-ayak berseh dan di-jadi kan satu, garam halus (1 sudu teh), telor ayam (sa-biji) , majerin, gula pasir, karan (kesmes hitam), susu chair, esen vanilla (sedikit) , gula pasir kasar (sedikit, warnakan hijau/merah).

Jadi chara-chara membuat-nya

1. Masokkan telor, gula majerin ka-dalam mangkok. Kachau sampai gula hanchor, lepas it masokan pula benda tepong, baking powder, garam halus, kesmes, esen vanilla dan gaul rata rata. Masokan pula susu setengah pain tadi, gaul lagi rata rata. Lihat jangan pekat sangat yang di-kehendaki seperti kek biasa.

2. Sapu majerin dalam loyang pembakar kemudian ambil sudu makan sebagai sukatan, chidok lah tiap tiap sa-keping satu sudu atau ikut suka, lalu di-atorkan terus ka-dalam dulang pembakar itu. Jarakan di-antara satu sama lain kira kira 1 inchi kerana ia-ya akan kembang apabila di-bakar.

3. Sa-belom di-bakar taborkan gula kasar yang berwarna merah hijau di-atas kepingan kek itu, bakar-lah kira kira 15-20 minit apa bila masak angkat lah lalu di-sejokan.

Tapi pak-chik nak ingat kan anak anak sa-kalian, jika anak anak gunakan sukatan seperti di-atas, gunakan sudu membuat sukatan-nya, anda akan dapat antara 20 atau 25 buku Rock Cake.

Sekian, renung renungkan dan selamat menge-kek.


May 17, 2012

Kurt Cobain datang lagi.


Tadi dalam mimpi Kurt Cobain tiba tiba datang ajak berborak. Katanya dia ada dengar khabar angin dekat neraka yang aku fikir suicide. Aku cuma ketawa, mengiyakan pun tidak, menafikan pun tidak. 

Pesan arwah, jangan bunuh diri pakai senapang patah. Nanti waktu funeral tidak ada kenalan berpeluang beri ciuman terakhir. Ciuman itu perlu, jadi bekal kenang kenangan di sana nanti. Lalu aku tanya, jadi mahu mati bagaimana? Tikam pisau di dada? Sekurang kurangnya muka pun terjaga. Giliran Kurt pula ketawa. Kau gila? Sakit tahu tikam dada, dan entah entah kau tak jadi mati. Terjaga di atas katil putih hospital dan dibebel orang sekeliling. Kau tahu Elliott Smith? Aku ada jumpa dia dekat atas sana masih lagi dengan sebilah pisau tercacak di dada.

Kami sama sama terdiam selepas itu, mendengar lagu Miss Misery yang datang entah daripada mana. Aku tak fikir sangat, lagipun ini cuma mimpi. Aku tanya Kurt, jadi pendapat kau, bunuh diri yang bagaimana paling pantas buat aku sekarang ini?

Dia jawab, kau tak perlu susah susah. Aku lihat perlahan lahan kau sendiri sedang mati dari dalam. Cuba tanya diri kau sendiri, apa lagi yang tinggal untuk kau hidup. Tengok diri kau sekarang sudah la. Apa yang kau ada?

Aku lepaskan satu keluhan panjang. Mungkin benar kata kata lelaki ini, aku sedang nazak, bakal mati dibunuh rasa putus asa. Terus aku minta izin Kurt mahu undur diri, bangun tidur dan update blog.

Dia kata okay.