Mar 28, 2011

Rumah Anak Anak Yatim Al Khairiyah : Part 1


Semalam aku terfikir.

Apa akan jadi kalau suatu ketika dahulu, aku dilahirkan yatim? mungkin ibu bapa aku diambil Tuhan, mungkin aku dibuang atau mungkin kerana keluarga aku terlalu miskin untuk menanggung aku.

Makanya aku akan jadi keseorangan, akan bingung memikirkan persoalan persoalan yang akan sentiasa berlegar di minda dalam sunyi atau dalam mimpi. Akan sering memikirkan dosa dan kesalahan diri kenapa aku dihukum begini. Akan bertanya tentang kenapa aku tidak pernah ada apa yang mereka ada. Dan apabila ditanya tentang cita cita, aku cuma inginkan sebuah keluarga. Keluarga yang bahagia seperti yang aku sering lukis dalam kanvas putih A4 yang diberi cikgu.

dan apabila dihampiri oleh mereka mereka yang ingin membantu, aku akan tersenyum palsu. Tahu yang bantuan ini cuma sementara, sedangkan aku digunakan mereka untuk kredit kepada diri mereka, untuk puji pujian kepada diri mereka dan untuk kepentingan manusia manusia itu. Aku akan tetap tinggal menjadi aku yang dulu. Sunyi dan cuma punya kawan yang senasib.

Aku pasti akan menelan air liur apabila melihat rakan rakan di sekolah menjilat aiskrim berwarna gelap berperisa coklat. Aku akan dihurung cemburu melihat tangan mereka dipimpin ibu atau ayah saat ingin melintas jalan. Dan di atas katil saat pulang nanti, aku akan terkebil kebil seorang diri apabila tidak mengetahui cara menyelesaikan masalah matematik pemberian cikgu.

saat aku menangis, siapakah yang akan datang memelukkan aku dan mengatakan yang semuanya baik baik sahaja?

dan aku akan termenung. Memikirkan semua itu. Semua yang telah berlaku dan bakal berlaku.
Dan sekarang, cuma satu persoalan timbul. Cuma satu.

Tidakkah aku bersyukur?

2 comments:

Budak Giler Cadbury said...

aku tau kau bersyukur sbb masih ada mak n ayah.. sama jugak cm aku.. kehilangan mereka akan kita hadapi.. cume tak tau diorang pegi dlu ke atau kita yang pergi dluu.. entri yang bgos zoul

hilmi said...

thanks nina..:)

sepatutnya setiap hela nafas yang kita hembus, wajib diselang selikan dengan syukur kita pada Tuhan. Sayangkan, aku selalu lupa..