May 5, 2012

Anjing Anjing

Anjing anjing

Anjing berantai di dalam pagar
menyalak sepanjang malam
entah kerana setianya
atau takut tak diberi makan
anjing menyalak malam
kerana takut dan bimbang


Anjing yang garang
bisu mendapat tulang
hilang takut
hilang bimbang
tidur lena mimpikan bahagia

Jeram, Selangor                                                                                                                            
        Watan
2.10.7



Sejak beberapa minggu yang lepas, perkataan anjing cukup popular sekali di laman sosial, sampai membuatkan aku teringat kepada puisi Sabar Bohari yang satu ini. Tidak susah untuk memahami mengapa Sabar Bohari diberi jolokan seniman rakyat oleh Shamsul Amri Baharuddin ketika dalam bukunya Daun - Daun Kemarau (sebuah analisa dan kajian mengenai Sabar Bohari dan sajak sajaknya). Pengalaman hidupnya sebagai seorang anak pesawah padi yang miskin banyak mempengaruhi tema dan mesej dalam sajak sajak beliau yang rata ratanya memperjuangkan nasib kaum tani itu sendiri. Malangnya, orang orang seperti beliau (lihat tokoh tokoh ASAS 50) sering dicap sebagai berhaluan kiri oleh pemerintah kerana membawa isu isu seperti kemiskinan, korupsi dan penindasan yang telah dipinggirkan daripada menjadi keutamaan. Lalu perlahan lahan, sastera untuk masyarakat telah dilupakan sampai masyarakat pun jadi pegun.

Tertarik kepada status facebook seorang teman, Mesin Cetak mengatakan mereka yang berada dalam sistem seperti yang diterangkan oleh Hannah Arendt dalam Banality of Evil adalah alat-alat negara yang digunakan untuk melicinkan kejahatan yang lebih besar, yang tidak terlihat, sehingga kita tidak merasakan kejahatan itu secara langsung. Manusia dalam sistem ini tidak punya daya kreatif, kerana rasional instrumental yang ditekankan dioperasikan dengan sistematik.

Sepatutnya disitu lah sastera memainkan peranannya sebagai penajam fikiran serta membina insaniah dalam kehidupan manusia agar tidak ada manusia yang menjadi robot yang hilang sifat sifat kemanusiaan dalam membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Sayangnya, sastera sekarang di lihat oleh orang orang kebanyakan sebagai rintihan atau kata kata semangat pembikinnya semata mata. Mungkin ini lah maksud kata kata Kassim Ahmad suatu masa dahulu - sastera bukan seorang dewi yang ditugaskan Brahma untuk menghibur manusia terkutuk di dunia ini, tetapi sebuah kandil yang menerangi fikiran, hati dan jiwa makhluk yang bahagia

Sekali lagi mengambil tulisan Hannah Arendt, mungkin aku juga menjadi buah catur penggerak kejahatan tanpa disedari atau mungkin juga tidak. Untuk itu aku perlu sentiasa mencari jawapan terutamanya melalui pembacaan tulisan tulisan yang punya nilai intelek, bukannya melalui komen komen negatif memanggil orang itu anjing orang ini anjing ataupun daripada surat khabar yang tiada bermaruah. 

Lagipun sebagai ciptaan sebaik baik kejadian tidak molek rasanya menuding jari menuduh satu sama lain sebagai anjing kecuali sebagai simbol dalam sebuah karya sastera. Ahaks. 

No comments: