May 28, 2012

Aku jarang jarang tulis post selamat hari jadi untuk seorang teman baik, tapi bila aku tulis, ada tujuh point penting semuanya.


Tak ada hadiah yang aku dapat bagi pada Faizal, jadi aku cuma boleh berikan beberapa cerita tentangnya yang mungkin ramai tak tahu.

1. Faizal pernah bawa kami ke rumahnya, melalui jalan belakang taman yang dipenuhi anjing. Perjalanan itu tak pernah sunyi daripada salakan anjing yang berbagai bagai saiz dan spesies. Kebanyakan daripada kami awal awal lagi sudah melafazkan syahadah dalam hati, bimbang pergi berjalan kaki, pulang dalam van. 

Tapi alah bisa tegal biasa, Faizal berjalan seperti biasa, seolah olah anjing tersebut sedang ketawa riang kepadanya, malah sempat diacah acah lagi haiwan bergigi tajam tersebut. Motif aku ceritakan cerita ini adalah untuk memberitahu, Faizal sebenarnya seorang dog whisperer dan dia mempunyai seorang ibu yang terer masak ayam merah paling power di Pahang. 


2. Faizal seorang jam loceng waktu pagi versi manusia. Tak, dia bukan rajin kejut orang pagi pagi, tapi dia annoying macam bunyi loceng tersebut. Waktu anda tidak akan mendengar suara Faizal adalah sewaktu dia tidur, berhadas kecil ataupun ketika azan sedang berkumandang. Begitulah dasyatnya kebisingan Faizal ini pada pandangan rakyat marhaen Kuantan. Tapi pada malam hari jadinya yang ke lapan belas, kami telah berpakat lalu mengatakannya konon kononnya ada penduduk blok A tidak berpuas hati dengan kelantangannya. Lalu Faizal di bawa masuk ke dalam bilik aku dan dikunci sebelum pintu diketuk bertalu talu kononnya mahu masuk dan belasah. Sesuailah jika muka cuak Faizal ketika itu aku gambarkan seperti ayam kena tungau.

Lalu pintu di buka dan lagu selamat hari jadi dinyanyikan beramai ramai, lelaki bising ini dilihat mengalirkan air mata terharu di atas katil. Ketika ini, tradisi baling telur dan tepung pada mangsa harijadi yang diikat pada batang pokok masih belum popular di Padang Lalang.


3. Sepanjang aku bersama Faizal, dia ini makweless, benar benar tidak mempunyai makwe ataupun tidak menonjolkan makwenya itu aku tidak pasti. Tapi yang pasti, lebihan kasih sayangnya banyak dicurahkan pada kawan kawan. Termasuk lah aku, ketika demam, dia datang ke bilik menawarkan selimutnya pada aku memandangkan aku tidak pernah memiliki selimut sendiri kerana terlalu yakin dengan kehebatan selimut lemak di bawah kulit aku sendiri. 

4. Aku cuba belajar untuk bermain gitar demi membuat video paling manis untuk makwe aku ketika itu. Lalu aku pinjam gitar daripada seorang teman. Tapi malangnya aku cepat berputus asa, apabila jari mula sakit dan youtube jadi perlahan. 

Faizal masuk dan memetik metik gitar tersebut. Aku tanya dia, kau terer main gitar ke? Dia cakap tak, nak belajar lah ni. Lalu seminggu selepas itu, dia dah reti main gitar dan aku cuma mampu berikan patung Ultraman kepada makwe. Faizal adalah manusia paling pantas belajar.

5. Ketika orang ramai sedang bersikap "ah aku nak kena study ni aku pun nak exam juga, pergi tanya orang lain", Faizal bersikap terbuka sanggup mengajar aku mengenai beberapa subjek kerana baginya, mengajar aku itu adalah cara dia belajar. Dan Faizal, antara pelajar yang sukses dalam kalangan kami ketika itu. 

6. Faizal seorang yang sensitif. Kau bergurau dengan dia tentang mata sepet dia, jerawat berterabur di pipi dia ataupun rambut watak super saiya dia, dia tak akan pernah kisah. Tapi kalau cakap dia annoying, dia akan jadi "okay, aku annoying" kemudian sentap. 

Sampai sekarang, dia masih akan tanya aku apa benda yang orang tak suka tentang dia. Dia tahu jawapannya orang tak suka dia bising, annoying, tapi dia nak tanya juga. Lepas tu nanti nak tacing. Begitu lah bangangnya perangai Faizal ini.

7. Faizal Hiqram adalah seorang sahabat yang paling baik kalian boleh dapat. Kau kena kenal dia dulu sebelum kata yang bukan bukan mengenainya. Dia mungkin bising, tapi tidakkah kawan yang diam itu membosankan? Ini lah Faizal Hiqram yang aku kenal, bising, annoying dan antara kawan paling baik yang boleh Tuhan kurniakan pada mana mana mahklukNya. 

Aku mungkin dah tak selalu jumpa, sembang atau rapat dah dengan kau Mohd Faizal Hiqram. Tapi yang ini, aku ingat.

4 comments:

Y said...

nak number phone dia. aku nak kenal. HAHAHA.

Rain said...

hai abang pejai..

Unknown said...

faizal Seorang yang unik :)

Anonymous said...

:')