Sep 27, 2012

Secangkir kopi memori yang telah sejuk.

Dia pernah menangis di bahu aku dan aku sentiasa ada di situ untuknya. Kami sering melengkapkan ayat satu sama lain, berkongsi masalah, berbual mengenai perihal universiti, ketawa bersama membaca lawak bodoh dalam ruang borak facebook dan berkongsi minuman kegemaran kami, kopi.

Sampailah pada suatu pagi aku terjaga seperti biasa, dalam sebuah bilik bujang kosong dengan kipas siling berkelajuan sederhana, sisa sisa kuaci yang bertaburan di tepi tilam dan segelas kopi semalam yang telah sejuk. Manakala dia bangun dalam sebuah apartmen atas bar di negeri asing, dipeluk erat comforter putih tebal dan bersama samanya juga adalah segelas kopi semalam yang telah sejuk. Aku minum kopi tersebut, tapi dia, menuangkan kopinya ke dalam sinki.

Bingkai gambar kecil kami berdua di tepi tilam aku renung lama, lantas menarik aku ke dalam sebuah cebisan memori mengimbas saat kami berkongsi secangkir kopi panas di cafe universiti. Aku bertanya padanya, apakah kopi ini masih layak diminum jika ianya telah sejuk? Kau ketawa, menampakkan baris gigi putih dan sepasang lesung pipit yang memasung pandangan mata. Kata kau, kopi ini kan pernah hangat dan memberi nikmat pada kita, dengan aroma yang menusuk hidung dan rasa panas yang mengusap lidah, tidakkah meninggalkannya terus atas alasan ianya telah sejuk adalah pembaziran yang tidak wajar? Saat itu aku hanya mengangguk gembira sambil memerhatikan senyumannya.

Sekarang, bersama kopi sejuk ini aku hanya mampu berdoa satu hari nanti Tuhan akan temukannya dengan Khalil Gibran, yang akan mengingatkannya untuk memeriksa buku kenangannya kelmarin dan dia akan tahu bahawa dia masih berhutang kepada manusia dan kehidupan. 

1 comment:

ghost said...

sayang edisi KOPI Fixi dah lama lepas. lau tak leh muatkan sekali.