Nov 19, 2012

Burger-duh

Aku cukup yakin yang menjelang petang tiada lagi suara suara sumbang mengenai burger percuma McDonald. Ada yang berkeras mahu memboikot dan ada yang mempertahankan tindakannya untuk mengambil burger tersebut. Tidak kurang juga yang mencela salah satu nya.

Telahan aku kecundang. Sebaliknya tiba malam makin ramai yang bangkit sebagai pejuang, bangun berdiri sebagai pemain pertahanan dan lahirlah para pseudo-intelektual yang menyindir. Masing masing dengan sebab tersendiri untuk tindakan yang di ambil mereka. Lalu lama kelamaan, tulisan yang kononnya bermesej nasihat menjadi kebencian, mencipta pertelingkahan yang tak punya jawapan.

Aku tidak peduli siapa betul siapa salah. Dan kemungkinan besar juga kedua duanya mendukung kebenaran. Tapi mengapa perlu melolong dan berpencak dengan aksara yang tajam lalu melukakan teman teman kalian?

Untuk yang beria ria mencaci mereka yang mengambil makanan percuma, aku cuma mampu melihat mereka sebagai orang lemah yang mengaku pejuang. Kerana idak ada perkara yang lebih bermakna mereka dapat fikirkan untuk membantu saudara di Gaza, lalu mereka menjadi adiwira di halaman sendiri, saling memusuhi bersenjatakan caci maki. Yang akhirnya, sekadar mengumpul beban dalam buku catatan di bahu kiri.

Bagi yang sampai lelah mempertahankan tindakan mereka sendiri mengambil burger hingga sanggup memperlekehkan teman yang memboikot, aku memandang mereka sebagai orang yang berperang dengan diri sendiri. Bermati - matian mempertahankan tindakannya, hingga tersingkap jelas rasa bersalah yang dialaminya kepada diri sendiri lalu mengambil tindakan ini untuk memujuk hati. Dan hati yang perlahan lahan mati, mulai gelap lalu tidak mampu melihat kebaikan tindakan memboikot hatta sekecil mana sekalipun ia.

Aku mungkin betul tentang perkara di atas, mungkin juga salah. Namun boikot atau tidak boikot, adalah hak masing masing. Berdosa atau berpahala adalah hak Tuhan untuk menentukan. Mengapa mendahului-Nya dalam membuat keputusan? Apa kau sudah cukup kupon ke syurga? Tidak perlu berbalah, jika kau percaya yang tindakan kau betul, diam dan berpegang teguh lah dengannya. Bersuara lah jika perlu, dalam lunak bahasa yang merdu.

Sedangkan cengkerik tahu pilih waktu untuk berbunyi.

2 comments:

~* chirpy_chummy *~ said...

font size xle besar lg ke? O_O

H Y D E said...

nicely written. bero zoul.