Aug 20, 2012

Koyak


Bangun saja pagi pagi semalam jarinya sudah terhiris pisau waktu nak rungkai plastik ais kiub yang beku. Keluar daripada bilik mandi, dia lihat baju melayunya yang sudah digosok semalam jatuh ke lantai, selonggok, habis kedut. Tapi dipakai juga kerana sudah terlewat untuk sembahyang raya. Keluar masjid, seliparnya yang baru beli semalam pula dicuri, atau mungkin dipinjam orang yang ke jamban berak batu tapi tak keluar keluar walaupun hampir 15 minit dia menunggu. Pulang ke rumah berkaki ayam dia jamah 3 batang sosej, duduk depan tv sambil minum air sarsi sampai tengahari, sampai petang hari. Lalu dia ambil keputusan mahu keluar hiburkan hati, hidupkan enjin motor dan hujan. Bukan main main punya hujan, tapi hujan lebat gila babi.

Dia turun motor, tukar baju dan masuk tidur. Hiburkan hati dengan mimpi mimpi bersiri seperti makan kuih almond london yang kawan baiknya bikin dengan tangan sendiri, jumpa arwah toknya yang dah lama meninggal tapi datang kejut dia suruh bangun sembahyan subuh dan mengaji, dan paling comel sekali dia mimpi balik jadi kanak kanak bulat yang jalan terkedek kedek ketawa dan bikin semua orang disekelilingnya gembira dan senang hati.

Hari ini, dia bangun pagi tanpa perasaan sakit hati, kecewa, sedih dan bosan semalam dan dia pergi beli sarapan nasi lemak dan roti canai yang tidak dijamahnya sebulan tanpa menyedari yang tengahari itu semua perasaan, caci maki dan perkara perkara buruk dalam dunia akan menziarahinya di rumah, sampai dia lari keluar dengan harapan mungkin nanti dia akan tersadung batu timbul dan terjatuh dalam lombong, ataupun motornya pancit lalu melelong ke tengah jalan sebelum digilis lori 18 tayar yang berwarna hijau dan lampu depannya pecah sebelah.

Esok? Tak tahu lah.

2 comments:

nhdaughter said...

jgn sdih2 zoul ,moga tabah ! salam lebaran buat mu (:

ghost said...

sosej kau tak habis-habis lagi ek... beli baru ker aper? :D